Friday 27 April 2012

ALLAHHUAKBAR !!! Jutawan Amerika Peluk Islam


PENGISLAMAN individu dari Eropah dan Amerika Syarikat atau dikenali dengan masyarakat Barat, bukanlah perkara baru, ia telah berlangsung sejak sekian lama yang memperlihatkan bahawa terdapat manusia di sana amat merindui suasana kehidupan yang harmonis yang dicari-cari semua insan.

Antara tokoh terbaru memeluk Islam, adalah seorang hartawan, jutawan yang dianugerahkan Allah taufik dan hidayah-Nya untuk menjadi insan mulia dengan Islam. Beliau adalah Richard Patterson atau nama Islamnya Abdul Aziz. Kemasukan Abdul Aziz ke dalam Islam bukanlah satu bentuk paksaan, tetapi ia adalah takdir Allah yang menentukan segala-galanya.

Allah berfirman maksudnya: “Bukanlah kewajipanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allahlah yang memberikan (memberi taufik) siapa yang dikehendaki- Nya.”(al-Baqarah: 272) Maka itu, tidak hairan jika hidayah Allah itu datang dengan cara yang tidak disangka-sangka. Begitu juga dengan kembara hidayah insan bernama Richard Patterson.

Abdul Aziz bukan sebarangan orang. Dia adalah seorang ahli perniagaan terkemuka warga Amerika Syarikat (AS) yang juga seorang juruterbang. Namun, dia melakukan hijrah akidah selepas sebulan berada di bumi Arab Saudi.

Jutawan sebuah syarikat yang mengendalikan perkhidmatan bantuan perawatan kritikal memiliki kekayaan berjumlah RM155 juta, dua pesawat peribadi dan dua helikopter yang khusus untuk penerbangan perubatan khas.

Abdul Aziz menjejakkan kaki di Arab Saudi atas urusan menandatangani kontrak perjanjian dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Arab Saudi untuk melatih para pelajarnya menyediakan bantuan kecemasan ketika di udara.

Semasa tinggal di negara itu, Abdul Aziz keluar makan malam atas pelawaan tiga orang dari Kementerian Hal Ehwal Islam yang juga merupakan ahli kepada projek yang dikenali ‘Guide Me to Islam’. Ketiga-tiganya bercerita dengan Abdul Aziz mengenai Islam dan intipati tentang kebenarannya.

“Tujuan saya datang ke Arab Saudi semata-mata berkaitan urusan perniagaan. Tetapi saya gembira dengan keputusan bijak dalam kehidupan saya ini iaitu bergelar Muslim,” kata Abdul Aziz dalam satu majlis meraikan pengislaman itu.

Abdul Aziz memuji etika berpakaian orang Arab dan mengakui ia cukup selesa dan begitu cantik. Ketika berada di negara asal kelahirannya, Abdul Aziz selalu mendengar cerita-cerita negatif tentang Islam menerusi saluran-saluran media yang boleh dikatakan memburukkan imej Islam.

“Membaca tentang Islam semata-mata adalah tidak mencukupi untuk mengenali dan memahami Islam yang sebenar.

“Lantaran itu peluang bertemu dan berkenalan dengan umat Islam lebih membuatkan saya mengenali roh Islam dengan lebih jelas,” katanya.

Abdul Aziz menganggap dirinya bertuah kerana mengenali Islam menerusi teman-teman Muslim yang bersama-samanya sepanjang berada di bumi Arab itu. Malah beliau turut mengakui Islam adalah agama yang benar dan penuh toleransi.

“Masyarakat Islam dan warga Arab Saudi sangat baik hati, merendah diri dan bersikap terbuka kepada orang luar,” kata Abdul Aziz.

Beliau turut merasa mereka seperti keluarganya sendiri, kerana tidak pernah mengalami perasaan terasing atau dilayan dengan buruk sepanjang berada di Arab Saudi.

Bagi Abdul Aziz, apa yang paling menarik mengenai masyarakat Arab adalah mereka sangat beragama dan menjadikan agama Islam sebahagian daripada kehidupan.

Dia memang berharap untuk membawa rakanrakannya ke Arab Saudi untuk mengalami sendiri apa yang telah dilaluinya, sekali gus mengubah persepsi mereka tentang Islam. Abdul Aziz juga menyeru pengusaha Muslim untuk bekerja keras dan menarik pengusaha asing memeluk agama Islam. Ini kerana ada di antara usahawan Muslim tidak begitu serius dalam melakukan dakwah kepada rakan kongsi yang bukan beragama Islam. Beliau berpendapat, sikap begitu sebenarnya satu kerugian besar buat agama Islam itu sendiri.

“Kita boleh menyediakan buku-buku tentang Islam kepada delegasi semasa pertemuan urus niaga dijalankan. “Dengan cara ini ia dapat membantu menjernihkan imej Islam yang selama ini telah diburukkan oleh pihakpihak tertentu,” tegas beliau.- Detikdaily

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive