SMM mahu perluas demo PTPTN ke seluruh negara
KUALA LUMPUR - Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang berkata pihaknya akan mengadakan demonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di seluruh negara jika mendapat sokongan orang ramai.
Mereka mengadakan demonstrasi di ibu negara Sabtu lalu dan sejak itu berkhemah di Dataran Merdeka.
"Kami akan berkumpul di beberapa lokasi untuk mendapatkan respons daripada masyarakat tentang isu yang kami perjuangkan ini," kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Beliau menambah "kami memerlukan banyak lagi  sokongan daripada orang awam. Di samping itu, meletakkan kain rentang tandatangan sokongan."
Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan mereka menurunkan kain rentang dan mencabut khemah-khemah yang didirikan, tetapi mereka mendirikan semula petang semalam dan hari ini.
Dua khemah lagi didirikan hari ini.
Turut hadir memberi sokongan dan menurunkan tandatangan hari ini ialah bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Bermula dari malam tadi, mereka menganjurkan ceramah di Dataran Merdeka.