Thursday 23 August 2012

Nik Abduh mahu DAP nyata pendirian hudud ??


Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa Timbalan ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menuntut DAP menyatakan pendirian rasmi mengenai hukum hudud.

Pendirian itu penting untuk membetulkan persepsi rakyat ekoran kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan pengerusi DAP Karpal Singh sebelum ini, katanya seperti dilaporkan akhbar milik Umno itu.

Menurut Utusan, Nik Mohamad Abdul turut meminta agar kepimpinan DAP memberi nasihat kepada Karpal supaya berhenti daripada terus membuat sebarang kenyataan.

“Kita minta pemimpin DAP tidak kira siapa (Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng) membuat kenyataan. Paling tidak orang tahu DAP menolak kenyataan Karpal dan yang penting rakyat tahu DAP menjaga hubungan dalam pakatan,” kata Nik Mohamad Abduh seperti dipetik dalam akhbar itu.

Laporan itu disiarkan susulan amaran yang dikeluarkannya semalam bahawa pelaksanaan hukum hudud akan menyebabkan PAS kehilangan sokongan pengundi Melayu dalam pilihan raya akan datang.

Laporan Berita Harian semalam memetik Nik Mohamad Abduh sebagai berkata, kenyataan pengerusi DAP itu memberi gambaran kepada masyarakat Islam bahawa DAP “tidak mesra Islam dan orang Melayu”.

Bagaimanapun, bapanya yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula tetap yakin bahawa kenyataan MP Bukit Gelugor itu tidak akan menjejaskan hubungan antara PAS dan DAP di dalam Pakatan Rakyat.

Nik Abdul Aziz dilaporkan lidah parti PAS Harakahdaily sebagai berkata, beliau yakin perkara itu hanya diperbesarkan bagi menimbulkan kekeliruan.

“Tidak timbul soal perpecahan kerana sekarang kita tidak menghadapi masalah dan perkara ini hanya diperbesar-besarkan bagi menimbulkan kekeliruan,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive