Monday 17 February 2014

Zaid Bertanding Demi Khalid & Selangor

KAJANG - Bekas Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim memberitahu keputusannya bertanding pada PRK Dun Kajang adalah kerana ingin menyelamatkan Selangor. Beliau juga yakin jika kemenangan berpihak kepadanya, kerusi menteri besar Selangor yang dipegang oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga akan kekal. 

 "Kalau saya menang, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim kalah, maka amanlah PR di Selangor. Khalid akan terus jadi menteri besar," katanya pada sidang media sempena pengumuman untuk bertanding sebagai calon bebas di PRK Dun Kajang, semalam. 

 Menurutnya, rancangan Anwar untuk mengangkat dirinya menjadi menteri besar, walau dengan sebab apa pun adalah satu tindakan politik liar yang tidak wajar direstui. 

"Cara dan teknik Anwar menggunakan kedudukan politiknya dalam PKR untuk merampas kuasa Khalid akan membawa perpecahan kepada PR. Jika Anwar menang di Kajang dan Khalid enggan berhenti secara sukarela, maka akan timbul krisis politik dan pentadbiran di Selangor. 

 "Demi menghormati prinsip demokrasi dan kestabilan politik berterusan di Selangor, rakyat Selangor perlu memastikan rancangan Anwar itu gagal," katanya. Beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kehadirannya itu bukan untuk merebut apa-apa jawatan seperti yang diidamkan Anwar. 

 Zaid berkata, kewujudan beliau sebagai calon bebas dalam PRK kali ini adalah salah satu tindakan bagi memperkukuhkan PR. 

 "Saya bukan mahu jadi menteri besar atau perdana menteri. Saya mahu demokrasi dan politik sihat subur dalam negara. 

 "PR dalam bahaya di Selangor, permainan politik yang digunakan hari ini akan hancurkan saingan PR pada BN serta rosakkan PR. Maka, kita perlu balik pada (perjuangan) asal," katanya. 

 Ditanya bagaimana untuk PR terus kuat di Selangor, bekas ahli PKR itu berkata, ia boleh dilakukan jika beliau menang kerusi Dun Kajang. Menurut Zaid, mandat dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Khalid tidak boleh dikikis semata- mata menjaga kepentingan individu tertentu dalam PKR. 

 "Jika Khalid dan kepimpinan perlu disingkirkan, biarlah dilakukan melalui proses demokrasi yang sihat," katanya. -Sumber
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive