Wednesday 19 March 2014

Misteri Kehilangan MH370 Hari Ke12!!! Petunjuk Baru Ditemui??? #PrayForMH370

Misi mencari dan menyelamat antarabangsa untuk MH370 masuk hari ke 12 dengan Thailand sekarang mengatakan tentera mereka mengambil masa 10 hari untuk melaporkan blip radar yang berkemungkinan daripada pesawat Malaysia Airlines yang hilang “kerana kami tidak memberikan perhatian kepadanya.”

India juga mengatakan Boeing 777-200ER yang membawa 239 orang itu berkemungkinan tidak berjaya dikesan melalui Lautan Hindi yang jarang melakukan semakan radar.

Kedua-dua laporan tidak memberikan petunjuk baru untuk mencari pesawat hilang itu yang dikatakan “misteri penerbangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini” selepas hilang di udara pada awal pagi 8 Mac dalam perjalanannya ke Beijing.

Pegawai tentera Thailand mengatakan semalam, radar tentera mengesan sebuah pesawat yang dipercayai mungkin pesawat MH370 terbang melalui Selat Melaka selepas beberapa minit sistem komunikasi pesawat Malaysia itu dipadamkan.

Jurucakap Tentera Udara Thailand, Naib Marsyal Udara Montol Suchookorn berkata, tentera tidak mengetahui pesawat yang dikesan merupakan pesawat MH370, lapor Canadian Broadcasting Corporation di laman sesawangnya.

Kegagalan Thailand berkongsi maklumat dengan cepat mungkin tidak mengubah apa yang pihak berkuasa Malaysia tahu sekarang, tetapi menimbulkan persoalan bagaimana sesetengah negara berkongsi maklumat ketenteraan mereka, kata portal berita tersebut.

Gabungan 26 negara, termasuk Thailand, sedang mencari pesawat MH370 dengan krew carian mencari di dua lengkok wilayah gergasi sebesar saiz Australia – separuh daripadanya di laut terpencil di selatan Lautan Hindi. Pasukan penyelamat sebelum ini mengadakan operasi pencarian di Teluk Thailand, tetapi menemui kegagalan.

Pencarian untuk pesawat hilang itu merupakan antara yang terbesar dalam sejarah penerbangan.

Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) mengatakan pesawat pengawasan P-3 dan P-8 bergerak melalui lautan dengan kaedah yang dikenali sebagai "memotong rumput," sementara menggunakan radar untuk mengesan sebarang serpihan bergerak di dalam air dan menggunakan kamera beresolusi tinggi untuk mengambil gambar.

Pesawat dan kapal Indonesia dan Australia mencari di kawasan perairan selatan kepulauan Sumatera sehingga ke selatan Lautan Hindi.

Beberapa kapal tentera laut Malaysia juga sudah memulakan pencarian pesawat hilang itu selepas lebih banyak aset ketenteraan digunakan untuk mencari MH370.

Pesawat MH370 berlepas daripada Kuala Lumpur pada 12.41 pagi waktu Malaysia pada 8 Mac dan transponder yang membenarkan pusat kawalan trafik udara mengenalpasti dan mengesan pesawat itu terputus komunikasi pada 1.21 pagi, kata pihak berkuasa Malaysia.

Montol mengatakan radar tenteranya mengesan isyarat pesawat terbang sekitar pukul 1.28 pagi 8 Mac lalu, pada laluan bertentangan yang sepatutnya dilalui MH370, kembali menuju ke Kuala Lumpur.

Pesawat itu kemudiannya membelok ke kanan, ke arah Butterworth, sepanjang Selat Melaka.

Isyarat radar tidak kerap dan tidak mengandungi sebarang data seperti nombor penerbangan.

Apabila ditanya mengapa Thailand mengambil masa begitu lama untuk mendedahkan maklumat itu, Montol berkata, “Pihaknya tidak memberi perhatian kepada maklumat tersebut. Pasukan Tentera Udara Diraja Thailand hanya memerhatikan sebarang perkara yang memberi ancaman kepada negara ini.”

Portal berita Kanada itu melaporkan beliau sebagai berkata pesawat MH370 tidak pernah masuk ke kawasan udara Thailand dan permintaan Malaysia untuk mendapatkan maklumat pada awal misi pencarian tidak spesifik.

"Apabila pihak Malaysia bertanya sekali lagi dan adanya andaian serta maklumat baru daripada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak, kami melihat semula maklumat yang ada.

"Ia tidak mengambil masa yang lama untuk kami mengesahkannya, walaupun memerlukan beberapa pakar untuk mengkaji maklumat tersebut," kata Montol.

Sementara pegawai India memberitahu CNN bahawa jika MH370 terbang melalui selatan Lautan Hindi, berkemungkinan besar sistem radar India tidak akan menyedarinya.

Pegawai tentera India mendedahkan sistem radar yang meliputi kepulauan Andaman dan Nicobar tidak dipantau secara dekat oleh tentera India seperti pihak lain.

Ini menyebabkan kemungkinan sistem tersebut tidak sedar pesawat MH370 terbang di kawasan tersebut, lapor stesen televisyen antarabangsa itu.

“Jika pesawat 370 terbang melalui koridor selatan, ia berkemungkinan melalui ‘lubang hitam’ di Lautan Hindi.

“Kemungkinan sistem radar India tidak menyedari pesawat 370 menakutkan, kerana jika mereka menyedari isyarat pesawat tersebut, laluan penerbangannya dan jadual, kawasan pencarian akan menjadi lebih fokus,” kata CNN.

Selain lubang hitam dalam pemantauan radar, pesawat tersebut mungkin juga terbang pada altitud serendah 5,000 kaki bagi mengelak dikesan, lapor New Straits Times Press pada Isnin.

Tetapi pakar penerbangan mengatakan altitud rendah itu tidak cukup untuk mengelakkan radar dikesan, kerana sistem tersebut mampu mengesannya dalam keadaan begitu, dan jika ia terbang rendah, orang yang berada di bawah pasti akan mengesannya.

Komander William Marks, jurucakap 7th Fleet AS mengatakan mencari pesawat tersebut sama seperti mencari beberapa orang di antara New York dan California.

Kawasan pencarian baru meliputi 2.24 juta persegi batu nautika dari Laut Kaspia ke utara dan selatan Lautan Hindi. ~tmi

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive