Sunday 17 August 2014

Kenapa Dr MAZA Pun Tak Setuju Wan Azizah Jadi Calon MB???

Ini Punca Sebenar Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin berkata, beliau tidak bersetuju Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dipilih sebagai menteri besar Selangor bukan kerana beliau wanita tetapi kerana sebab-sebab lain.

“Saya tidak pernah kata setuju Dr Wan Azizah jadi menteri besar Selangor. Ada beberapa sebab lain untuk beliau tidak menjadi pilihan.

“Namun saya tidak setuju tafsiran sesetengah ustaz bahawa wanita tidak boleh menjadi MB menurut Islam, bahkan mereka kata dalam semua urusan.Walaupun lelaki lebih afdal atas beberapa keadaan, namun mengharamkan wanita memegang jawatan menteri besar perlu dinilai semua,” katanya menerusi blog DrMaza.com.

Hadis Rasulullah yang menyelar kaum wanita untuk diangkat sebagai pemimpin perlu dilihat dalam konteks yang sebenarnya dan tidak boleh disandarkan secara umum, kata beliau.

Bekas mufti Perlis itu berkata pandangan sesetengah ulama yang merujuk hadis “Tidak akan berjaya satu kaum yang melantik wanita mengurus urusan mereka" secara umum akan memberi sekatan kepada wanita terlibat dalam kepimpinan organisasi secara keseluruhannya.

Semalam, sebuah blog Pena Minang menerangkan secara terperinci mengapa wanita tidak sesuai untuk diangkat sebagai pemimpin menerusi perspektif Islam.

Hujah yang diutarakan oleh M Afifuddin menerusi portal itu turut menyandarkan kepada hadis riwayat Al-Bukhari berkenaan dan memberikan pandangan secara menyeluruh mengenai perspektif wanita sebagai pemimpin.

Asri berkata hadis yang dijadikan hujah itu mempunyai teks dan konteksnya yang tersendiri iaitu isu anak perempuan Kisra Parsi yang menjadi maharani.

Katanya, Abu Bakrah juga menggunakan hadis ini untuk menolak kepimpinan isteri Rasulullah, Siti Aishah dalam isu membantah pembunuh Uthman Al-Affan di zaman pemerintahan khalifah Ali Ibni Abi Talib.

“Jika hadis ini dianggap terpakai secara umumnya, wanita bukan sahaja tidak boleh jadi MB, bahkan pengetua, ketua pejabat, pengarah, exco, senator, menteri dan seumpamanya juga tidak boleh.

“Al-Quran dalam surah Al-Naml dalam penceritaannya memuji Ratu Saba atau dalam riwayat Yahudi dengan nama Balqis.

“Kebijaksanaannya mengatasi menteri lelaki kabinet kerajaannya. Hasil kebijaksanaan itu membawanya beriman bersama Nabi Sulaiman. Ia bukti kejayaan wanita,” katanya.

Asri berkata Umar Al-Khattab juga pernah melantik Syifa binti Abdillah sebagai menteri yang mengurus pasar di zamannya.

“Banyak juga wanita dalam dunia ini menjadi pemimpin lebih baik dari sebahagian lelaki,” katanya menguatkan lagi hujahnya. ~tmi

2 comments:

  1. Berjaya yg hakiki adalah kejayaan di Akhirat. Kejayaan di dunia bukan ukurannya dan bukanlah kejayaan yg sebenar. Kejayaan sebenar adalah bila selamat dr segala azab, dijauhkan dr Neraka dan dimasukkan ke Syurga Allah swt. Takkan MAZA dok paham berjaya tu berjaya kat dunia aje kot ? Kan dia ngaji agama.

    ReplyDelete
  2. Terbaik anon 10:06

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ENTRI POPULAR

Blog Archive

Blog Archive